ISU PANAS!!! HARGA TIKET FINAL PIALA MALAYSIA TAK MESRA RAKYAT

ISU HARGA TIKET DAN SEKITAR  FINAL PIALA MALAYSIA 2011 YANG DI PETIK DARI KOSMO ONLINE DAN UTUSAN MALAYSIA ONLINE






'Kaji semula harga tiket final'




MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengkaji semula harga tiket final Piala Malaysia antara Terengganu dan Negeri Sembilan yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Menurut Ahmad Shabery, harga tiket untuk semua tempat duduk itu dianggap mahal bagi peminat-peminat bola sepak yang kurang berkemampuan.
Katanya, harga tiket RM50 berbanding RM30 yang dijual pada aksi final Piala Malaysia sebelum ini adalah satu peningkatan yang mendadak.
"Bagi mereka yang datang seorang mungkin tidak ada apa-apa tetapi bagi mereka yang datang satu keluarga adalah melibatkan jumlah kos yang besar.
"Mungkin sebelum ini mereka hanya perlu membayar sebanyak RM150 untuk lima orang, tetapi sekarang RM250," kata Ahmad Shabery di Menara KBS di Putrajaya semalam.
Ahmad Shabery berkata, beliau sudah maklum perkara itu telah dipersetujui oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).
"Saya tidaklah begitu kecewa sekiranya harga tiket ini diumumkan lebih awal, tetapi bila dah masuk final keghairahan peminat sukan akan terhenti.
"Lebih-lebih lagi apabila bermain di Stadium Shah Alam yang orang ramai tahu mutu padang itu rendah," ujarnya.
Di Seremban, PBNS turut menegaskan bahawa harga tiket RM50 itu membebankan para penyokong.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, PBNS tidak bersetuju dengan harga yang ditetapkan kerana ia jelas melonjak dari harga tiket final Piala Malaysia musim lepas.
"Kita sendiri di peringkat PBNS tak setuju dengan harga tiket yang melonjak dari RM30 kepada RM50. Ramai yang meminta saya campur tangan, tetapi itu bukan bidang kuasa saya.
"Venue dan harga tiket, semua itu FAM yang tentukan, tetapi keputusan telah dibuat," katanya.
Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan turut kesal dengan tindakan FAM menaikkan harga tiket final Piala Malaysia musim ini.
Timbalan Presidennya, Mohd. Faidzul Mohd. Noh menyifatkan ia sesuatu yang membebankan peminat dan penyokong.
Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, harga tiket itu dianggap wajar kerana FAM terpaksa menanggung beberapa kos termasuk bayaran kepada pihak stadium selain beberapa faktor lain.



DI KUALA TERENGGANU

Kerajaan negeri Terengganu beri subsidi tiket final

KERAJAAN negeri Terengganu semalam mengumumkan pemberian subsidi sebanyak 50 peratus terhadap 30,000 keping tiket final Piala Malaysia yang diperuntukkan kepada penyokong Terengganu, lapor MANIRAH OTHMAN.
Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh berkata, dengan pemberian subsidi hampir RM750,000 itu, penyokong skuad Penyu hanya perlu membayar RM25 sekeping tiket, berbanding harga jualan yang diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kelmarin iaitu RM50.
"Saya sendiri terkejut apabila mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Said) pagi ini (semalam) mengenai perkara itu dan kita sangat bersyukur.
"Ia adalah hadiah istimewa untuk peminat Terengganu," kata Che Mat ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Jelasnya, sebahagian peminat sudah membuat tempahan daripada PBSNT semalam untuk mendapatkan tiket berkenaan yang dijangka dibuka untuk dijual secara runcit bermula pukul 9 pagi ini di pejabat PBSNT di Kuala Terengganu.
"Walaupun esok (hari ini) cuti sempena Deepavali, namun pejabat kita akan terus dibuka untuk membolehkan peminat membeli tiket yang dihadkan 10 keping sahaja setiap seorang," katanya.
Che Mat menambah, pihaknya turut memperuntukkan 500 keping tiket untuk setiap pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya tiket tersebut dapat dibahagikan sama rata untuk semua peminat bola sepak negeri itu
"Setakat ini, saya telah menerima bayaran daripada DUN Tepoh dan kemungkinan dalam masa terdekat wakil pejabat DUN lain akan turut membuat perkara sama," katanya.
Che Mat berkata, beliau dan seluruh peminat bola sepak Terengganu sangat berterima kasih kepada Menteri Besar dengan pemberian subsidi tersebut dan berharap ia juga akan menaikkan semangat skuad Penyu.
Terengganu kembali beraksi di pentas final Piala Malaysia buat kali pertama sejak edisi 2001 yang menyaksikan jaguh Pantai Timur itu muncul juara.


DI SEREMBAN..

Penyokong NS tetap beli tiket

SETIAP kali aksi final Piala Malaysia, pasti ada isu tiket. Jika sebelum ini penyokong tidak dapat membeli kerana tiket habis dijual, kali ini ceritanya harga tiket mahal, lapor RAIS YEOP JOHARI.
Begitupun, sebilangan besar penyokong Negeri Sembilan tiada mempunyai pilihan, malah terpaksa akur dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membeli harga tiket pada harga yang agak mahal demi menyaksikan aksi final Piala Malaysia di Stadium Alam, Sabtu ini.
Kata mereka, bola sepak adalah sukan nombor satu di negara ini dan aksi final adalah saat-saat yang ditunggu-tunggu dek kerana minat mereka tetap menyaksikan pasukan kesayangan, sekali gus mengenepikan isu harga tiket.
Seorang peminat, Farizi Mohd., 20, berkata, FAM sepatutnya mengambil kira semua faktor termasuk kemampuan orang ramai.
"Rata-rata yang peminat bola sepak tempatan ini adalah golongan yang berpendapatan sederhana dan di kalangan belia yang masih belajar.
"Penonton yang datang tengok Piala Malaysia dengan mereka yang datang menyaksikan perlawanan persahabatan kelab gergasi England (EPL) baru-baru ini adalah golongan yang berbeza," katanya.
S. Anand Raj, 32, pula berkata, setiap kali Negeri Sembilan berjaya ke final Piala Malaysia, dia tidak pernah ketinggalan menyaksikannya.
Ujarnya, walaupun tidak berpuas hati dengan keputusan FAM itu dia tidak mempunyai pilihan, membeli pada harga yang telah ditetapkan.
Bagi Khairulzzaman Mohd. Yusof, 31, keputusan FAM itu dianggap terlalu membebankan penyokong.
"Kami bukannya orang senang, nilai RM50 amat besar buat kami yang berpendapatan kecil," ujarnya.
Penyokong setia Hoben Jang Hoben mula berkumpul di pekarangan pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) kira-kira sejam sebelum tiket dijual pada pukul 5 petang semalam.
Dalam pada itu, lain pula kisah sekumpulan penyokong yang kecewa dengan isu harga tiket tersebut apabila memboikot penjualan tiket.
Antara luahkan mereka menerusi poster kecil berwarna kuning yang dipegang: 'Poketku habis binasa', 'FAM cekik darah' serta 'penyokong profesional'.


Ultras Tranung dan Ultras Nogori boikot perlawanan akhir

KUALA LUMPUR - Ultras Tranung (Terengganu) dan Ultras Nogori (Negeri Sembilan) mengambil keputusan untuk memboikot perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-45 kerana harga tiket yang disifatkan cekik darah.
Menurut satu status laman sosial Facebook Ultras Tranung, kenaikan itu sangat membebankan, terutama bagi penyokong yang tidak pernah ketinggalan pergi ke stadium sepanjang musim untuk menyaksikan perlawanan bola sepak.
"Walaupun ada berita mengatakan kerajaan negeri memberi subsidi kepada penyokong Terengganu, namun kami mengambil pendirian tidak sanggup 'makan' duit rakyat Terengganu yang berhak.
"Pendirian Ultras Tranung ialah tidak akan tunduk kepada harga cekik darah yang dikenakan dan akan memboikot sehingga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menurunkan harga," katanya.
Sementara itu, seorang jurucakap UN9 (Ultras Negeri Sembilan) yang dikenali sebagai Carlas berkata, mereka akan hadir ke Stadium Shah Alam Sabtu ini bersama 200 ahlinya, namun tidak akan masuk ke dalam stadium.
"Kami akan menyanyi dari luar stadium untuk menyokong skuad Rusa dan menggantung kain rentang membantah kenaikan tiket.
"Pada hari ini, di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi, kami juga membuat tindakan sama apabila pergi ke kaunter jualan tiket namun tidak membeli sebaliknya menggantung kain rentang mengutuk harga tiket yang melampau," katanya.

Comments

Popular Posts