Berita Harian Online | Dalam kocek!

Berita Harian Online | Dalam kocek!

Dalam kocek!
Oleh Hussain Said

2011/10/27

pix_gal0
Farizal yakin kebal, arif muslihat Manaf

KELIBAT Abdul Manaf Mamat harus menggerunkan mana-mana penjaga gol ketika ini, tetapi Mohd Farizal Marlias tidak sedikitpun gentar dengan ledakan berbisa penyerang sensasi Terengganu itu menjelang final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.


Malah, penjaga gol Negeri Sembilan yang tampil beraksi pertama kali pada pentas berprestij itu yakin sepasang 'tangan emas' miliknya mampu menghalang Abdul Manaf daripada membocori gawangnya.
“Tidak dinafikan Abdul Manaf berada di prestasi terbaik ketika ini tetapi saya yakin mampu menghalangnya kerana segala tipu helah penyerang itu dalam kocek saya kerana pernah beraksi bersamanya dalam skuad kebangsaan.
“Lagipun, saya dan rakan lain di benteng membuktikan mampu merantai jentera serangan Terengganu itu ketika menang 1-0 di gelanggang sendiri dan 0-0 di tempat lawan pada saingan peringkat kumpulan,” katanya sejurus latihan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, semalam.


Selain menggegar ketika membantu Terengganu menyingkirkan juara bertahan, Kelantan di suku akhir, Abdul Manaf membuktikan ketajaman penyudahnya apabila menyumbat tiga gol ketika memusnahkan ‘Misi 33’ Selangor pada separuh akhir.


Farizal yang menyarung jersi Negeri Sembilan buat pertama kali musim ini berkata, dia memiliki 1001 alasan untuk menyinar pada final nanti, sekali gus memastikan skuad Hoben Jang Hoben memenangi piala keramat itu.


Selain tidak mahu penampilan kali pertama di pentas prestij itu berakhir kekecewaan, penjaga gol kebangsaan itu juga mahu menggunakan detik final sebagai medan membalas kepercayaan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).
“Selepas gagal membantu Negeri Sembilan pada saingan Liga Super dan Piala FA, inilah saat terbaik saya dan rakan sepasukan menebus kehampaan itu,” katanya.

Sementara itu di kem terengganu

Simbolik ‘dua zaman’
Oleh Mohd Fitrie Muhamad

2011/10/27

Marzuki mahu ulangi pencapaian satu dekad lalu

DUA zaman berbeza namun tetap dengan sasaran sama. Itulah gambaran jelas tugas dipikul kapten pasukan gergasi Pantai Timur, Terengganu, Marzuki Yusof (kiri) menjelang pertembungan dengan Negeri Sembilan di final Piala Malaysia Sabtu ini selepas menjulang trofi itu pada 2001.

Kejayaan menumbangkan juara bertahan, Kelantan di suku akhir dan juara 32 kali, Selangor di separuh akhir bagaikan satu tonik buat pemain veteran itu untuk membantu Terengganu menjulang trofi berprestij itu, sekali gus menjadi kapten Terengganu kedua menjulang Piala Malaysia selepas Zulharisam Awang.
“Kami akan bermati-matian dan berjanji meneruskan momentum cemerlang seperti yang ditunjukkan pada peringkat kalah mati sebelum ini, sekali gus membawa pulang trofi ini buat kali kedua ke Terengganu selepas menjuarai Piala FA lalu,” katanya.
Pada penampilan sulung bersama skuad Penyu di final 2001, Terengganu diketuai Zulharisam manakala Marzuki yang turut beraksi ketika itu, nyata belum puas dan mahu menambah koleksi pingat kemenangannya musim ini.

Namun dia akur juara 2009 Negeri Sembilan yang layak ke final buat kali ketiga berturut-turut, bukan sebuah pasukan mudah dan ia turut mencetuskan sedikit kerisauan dalam persiapan kem Terengganu.

“Kita tidak boleh leka, perlu elak kesilapan serta waspada dengan kemampuan pemain mereka terutama Hairudin (Omar). Dia (Hairudin) perlu ‘dirantai’ kerana sedikit peluang, dia mampu memusnahkan harapan kami untuk menjulang trofi kedua musim ini,” katanya.

Comments

Popular Posts