tak ikut prosedur polis surai himpunan bersih

'Tak ikut prosedur operasi polis'
 

Anggota terbabit surai perhimpunan BERSIH di HTS, CMH hadapi tindakan


PUTRAJAYA: Anggota polis didapati mengambil tindakan di luar garis panduan operasi polis (SOP) ketika melaksanakan penguatkuasaan penyuraian perhimpunan haram BERSIH di sekitar Hospital Tung Shin (HTS) dan Hospital Bersalin Cina (CMH) di Jalan Pudu pada 9 Julai lalu.
Sehubungan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota terbabit berdasarkan laporan siasatan daripada Jawatankuasa Siasatan Dalaman Peringkat Tertinggi Kementerian Kesihatan yang dikeluarkan semalam.
Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Mahmood Adam berkata, berdasarkan laporan itu wujud tindakan tidak beretika dan di luar garis SOP oleh anggotanya terbabit dalam menangani orang ramai yang menyertai perhimpunan yang secara salah menggunakan premis hospital berkenaan.

“Susulan daripada laporan hasil siasatan ini, KDN akan merujuk senarai kakitangan berkenaan kepada Jawatankuasa Tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mahmood berkata, tindakan KDN itu juga membuktikan pihaknya mengambil berat etika kerja setiap kakitangan dan tidak berkompromi mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka yang melanggar garis panduan kerja.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Kamarul Zaman Md Isa, berkata penemuan hasil siasatan itu mendapati berlaku semburan air oleh anggota polis arah penunjuk perasaan yang sedang berkumpul di tempat parkir kenderaan bertingkat dan pintu masuk utama HTS.
Katanya, terdapat juga tembakan gas pemedih mata dari arah premis Waz Lian oleh anggota polis ke arah penunjuk perasaan yang sedang berkumpul di tempat letak kereta awam yang terletak di luar kawasan HTS selain berlaku lontaran ‘bom asap’ oleh polis ke atas penunjuk perasaan yang sedang berkumpul di tempat parkir kenderaan CMH pada 9 Julai lalu.

“Secara amnya, berlaku semburan air oleh anggota polis ke arah kawasan hospital di mana penunjuk perasaan sedang berkumpul. Bagaimanapun, tindakan oleh anggota polis itu semata-mata untuk menyuraikan kelompok penunjuk perasaan yang sedang berkumpul di dalam kawasan HTS.

“Dakwaan yang menyatakan berlakunya tembakan gas pemedih mata ke dalam kawasan HTS adalah tidak benar kerana ia berlaku di tempat letak kereta awam yang terletak di luar kawasan hospital berkenaan, ” katanya dalam kenyataan semalam.

Berhubung dengan insiden lontaran bom asap, katanya, siasatan mendapati ia bukan berlaku di dalam kawasan HTS tetapi di kawasan CMH yang dari segi pentadbirannya berasingan daripada HTS.

Katanya, pihak CMH sebenarnya memberhentikan operasinya sejak September 2006 kerana akan membuat pengubahsuaian secara menyeluruh terhadap keseluruhan premisnya yang akan bermula pada Disember ini.

“Bagaimanapun, pihak kami mengambil berat kejadian itu dan sudah membawa perkara itu ke perhatian KDN untuk diambil tindakan yang sewajarnya terhadap anggota polis melakukan lontaran bom asap bagi memastikan perkara yang sama tidak akan berulang lagi di masa akan datang, ” katanya.

Sumber : Beritaharian.com.my

Comments