SUKAN SEA PALEMBANG/JAKARTA 2011:KUARTET 4X400 TERIMA PINGAT DI KL



GANDINGAN kuartet 4 X 400 meter negara, dari kiri Mohd. Yunus, Kannathasan dan Schezuan ceria selepas menerima pingat emas masing-masing di Majlis Sukan Negara, Kuala Lumpur semalam.


AKHIRNYA dapat pingat. Setelah gagal untuk menerima pingat emas di Palembang disebabkan masalah menukar tiket penerbangan tempoh hari, barisan kuartet emas 4X400 meter negara menerima pingat masing-masing semalam.

Tiada sebarang majlis gilang-gemilang atau iringan nyanyian lagu Negarakukedengaran, S. Kannathasan, Schezuan Ahmad Rosely dan Mohd. Yunus Lasaleh hanya menerima pingat yang disampaikan jurulatih, Hamberi Mahat di Majlis Sukan Negara (MSN), Kuala Lumpur semalam.

Selepas menerima pingat masing-masing, gandingan kuartet tersebut menerima tepukan daripada pengurus skuad olahraga negara ke Sukan SEA, Rajmah Sheikh Ahmad serta kira-kira 10 orang wartawan dan jurugambar yang hadir.

Malangnya, seorang lagi pelari negara, P. Yuvaraj sekali lagi terlepas untuk menerima pingat yang menjadi haknya kerana telah pulang ke Pulau Pinang untuk menghadapi peperiksaan.
Hamberi ternyata tidak dapat menyembunyikan kekecewaan berhubung insiden tersebut sambil menyifatkan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) terutamanya Pengerusi Kejurulatihannya, Karim Ibrahim wajar dipersalahkan.

Kenyataan bahawa KOAM silap kerana memandang rendah kemampuan atlet tidak dapat diterimanya sama sekali.
Pasukan tersebut tidak hanya mendapat penerbangan lewat ke Palembang iaitu pada 12 haribulan yang menyukarkan mereka membuat persiapan, mereka juga tidak diiringi oleh jurulatih mereka, Hamberi, Tambukrishnan dan S. Jayabalan.

"Pengerusi kejurulatihan KOAM sepatutnya memiliki statistik yang kuat, perlu ada data-data, catatan masa dan kemampuan atlet.

"Bagi saya, jurulatih Tambukrishnan dan S. Jayabalan, kami sudah mengenal pasti kemampuan atlet kami. Sebelum sukan SEA, catatan terbaik (larian 400 meter) atlet Asia Tenggara 47.6 (saat) sahaja, sedangkan dua daripada atlet pasukan ini telah mencatatkan 47.7, seorang 47.8 dan 48.1 saat.

"Pasukan ini sepatutnya tidak boleh dipinggirkan, sekiranya dibandingkan dengan atlet kategori B yang lain, itu yang menjadi persoalan dan pengerusi kena jawab perkara ini," katanya.

Hamberi turut berpendapat pihak KOAM wajar untuk meminta maaf berhubung insiden tersebut.
"Kalau dia nak minta maaf, memang wajar. Bagaimanapun dia sepatutnya lebih telus, ini untuk negara bukan peribadi.

"Saya harap empat orang atlet ini diberi pendedahan lebih, walaupun mereka berlari dalam keadaan tertekan, mereka boleh buat sesuatu yang membanggakan negara.

"Ini termasuk juga dengan atlet lain seperti Roslinda Samsu dan Noraseela Khalid sentiasa dalam keadaan tertekan disebabkan pengurusan KOAM, namun masih boleh menyumbangkan sesuatu untuk negara," katanya.

Comments

Popular Posts