Kisah gadis menternak cacing






TEKUN: Shamsila (kiri) dan Ayu menyediakan proses untuk membuat baja daripada ternakkan cacing di Banting Selangor

Dua wanita usahawan tani rela gelumang dengan cacing

SHAMSILA Sharudin, 34, dan Ayu Fazira Awang, 31, adalah antara usahawan wanita yang memberanikan diri menceburi bidang baru membabitkan penternakan cacing. Walaupun masih baru, kedua-dua ibu tunggal ini yakin bahawa bidang yang diterokai dapat mengubah kehidupan dan masa depan. Jika tidak hari ini, mungkin suatu hari nanti.

Berpegang kepada keyakinan dan semangat itulah, Shamsila mahupun Ayu tekad untuk melepaskan kerjaya masing-masing serta menumpukan sepenuh masa dalam bidang penternakan dengan menganjurkan kursus penternakan cacing bagi membantu melahirkan lebih ramai usahawan menceburi bidang itu secara komersial.

“DULU memanglah geli... Dengar perkataan cacing pun sudah berasa geli geleman dan jika hendak makan mi, memang tidak jadi dan terus batalkan niat itu. Tetapi kini tidak lagi sebab sudah biasa. Kalau sedang makan dan cacing di sebelah pun tidak menjadi hal,” kata Ayu Fazira Awang sambil ketawa mengingatkan pengalaman lima tahun lalu.

Rakannya, Shamsila Sharudin yang duduk di sebelah turut berderai ketawa mengimbas kenangan itu. Bagaimanapun, katanya berbeza dengan Ayu, walaupun ketika itu berasa geli dan kotor, hati teruja untuk cuba memegang sendiri dengan tangan sekurang-kurangnya seekor cacing pun jadilah.

“Memanglah nampak kotor, tetapi namanya pun pergi kursus menternak cacing, kalau tidak cuba kita juga yang rugi. Penat dan membuang masa saja. Bagaimanapun, pendedahan awal yang diperoleh dalam kursus itulah juga yang memberi idea kepada kami untuk menjalankan perniagaan berasaskan bidang penternakan cacing,” katanya.



TEMPAT ternakkan cacing usahasama Shamsila Sharudin (kiri) dan Ayu Farita di Banting.

Walaupun cuma menganjurkan kursus penternakan, mereka akui perlu melengkapkan diri dengan apa saja pengetahuan berkaitan cacing termasuk ‘bergelumang’ dengan dunia cacing yang mungkin orang anggap kotor dan menggelikan. Ini termasuklah, memegang, mengetahui jenis cacing, proses pembiakan, apa yang dimakan dan sebagainya.

“Untuk memberi makan cacing misalnya, selain hampas tebu, sekam padi dan dedak ia turut membabitkan kotoran lembu, kambing dan juga buah-buahan atau apa saja bahan yang sudah busuk. Bagi melakukan tugas itu kami kena buang rasa geli dan kotor serta buat tidak tahu semua itu. Ini kerana kami tahu hasil penternakan cacing lumayan dan jika hendak sesuatu serta berbaloi, kami mesti lakukan,” kata Ayu yang pernah bekerja di bahagian tempahan tiket di sebuah syarikat penerbangan utama di negara ini.

Shamsila yang pernah menjawat jawatan eksekutif akaun di sebuah firma pula berkata, semuanya tidak pernah dirancang dengan teliti, tetapi mungkin sudah ditakdirkan pintu rezeki mereka murah, sekali gus memberi ruang untuk menceburi sesuatu yang baru.

Katanya, dulu mereka aktif menyertai persatuan ibu tunggal dan menerusi pembabitan dengan persatuan itulah mereka mendapat peluang mengikuti kursus pertama menternak cacing. Selepas tamat mengikuti kursus, minat mereka bercambah dan mengambil inisiatif meningkatkan pengetahuan serta pengalaman dengan syarikat penternakan pertanian ternakan dan pengeluaran produk cacing, Parkman Agro Resources.


KOMERSIAL: Antara produk yang boleh dihasilkan melalui penternakan cacing.

Namun, apa yang lebih menarik minat mereka ialah apabila mendapat tahu bahawa industri penternakan cacing satu industri yang hebat sehingga mampu memberikan pendapatan lumayan dan mudah jika dijalankan dengan betul.

Berdasarkan fakta, cacing tanah termasuk dalam kategori haiwan hermafrodit iaitu iaitu haiwan yang memiliki dua alat kelamin, jantan dan betina, tetapi untuk proses pembiakan dua cacing diperlukan. Umumnya, 100 ekor cacing tanah dapat menghasilkan 10,000 ekor cacing dalam tempoh setahun.

“Bagi hasil pendapatan dengan pengeluaran modal sebanyak RM5,600, seseorang itu boleh mencapai pendapatan bersih sebanyak RM24,000 setahun. Itu hanya mengambil kira hasil pendapatan melalui penternakan cacing saja dan tidak termasuk pengeluaran baja cacing yang mana lebih lumayan serta mungkin lebih berlipat ganda lagi,” kata Shamsila teruja.

Anjur kursus ternakan cacing 

Namun, kedua-duanya yang bercita-cita menjadi usahawan pertanian ternakan dan pengeluaran produk cacing secara komersial mengakui, belum mempunyai cukup modal untuk ke arah itu. Lalu, dengan kerjasama Parkman Agro Resources dan syarikat yang mereka tubuhkan, Rafflesia Enterprise sejak lima tahun lalu, Ayu dan Shamsila menganjurkan kursus Budidaya Cacing bagi melahirkan usahawan yang berpengetahuan, mahir serta berdaya saing secara berterusan.

Bagaimanapun, kursus dianjurkan syarikat mereka bukanlah ingin mengaut keuntungan semata-mata, sebaliknya turut diagihkan untuk sumbangan amal seperti kepada Rumah Amal Limpahan Kasih, rumah kebajikan Nur Cahaya dan juga ibu tunggal dan anak yatim yang dikenal pasti. Selain bermatlamat untuk membantu golongan tidak bernasib baik ia juga menjadi prinsip kedua-dua wanita muda ini untuk memanjangkan sedekah daripada setiap hasil pendapatan diperoleh demi mendapat keberkatan.

Beralih mengenai penternakan cacing, Shamsila berkata, pengetahuan mengenai bidang itu di Malaysia boleh dikatakan agak relatif. Padahal di Malaysia, cacing sudah dikenali sejak zaman nenek moyang kita lagi. Mereka menggunakan cacing sebagai ubat yang dapat menyembuhkan pelbagai penyakit dan juga memperbaiki suara agar lebih halus dan sebut. Melalui kajian yang sering dilakukan turut terbukti bahawa manfaat cacing ternyata sangat banyak.

“Jadi, jika anda melihat jumlah cacing yang banyak, berselirat dan menggeletik lupakan seketika rasa geli dan kotor, tetapi bayangkanlah kegunaan serta nilai lumayannya. Seperkara lagi, mungkin ada yang tidak percaya bahawa cacing boleh memberikan sumber pendapatan beribu-ribu ringgit sebulan, tetapi itulah hakikatnya,” katanya.

Ayu yang sependapat berkata, di negara seperti Amerika, Filipina, Jepun, Taiwan serta beberapa negara Eropah, cacing sudah banyak digunakan sebagai bahan untuk membuat ubat, kosmetik, pengurai sampah bahkan sebagai makanan manusia. Sementara di Malaysia, katanya penternakan cacing (budidaya cacing) masih baru dan belum dikenal luas. Begitu juga penggunaan dan manfaatnya juga masih terbatas.

Beliau mengakui, kursus dua hari penternakan cacing secara teori dan praktikal yang dianjurkan sejak setahun lalu itu mendapat sambutan ramai dan peserta yang menghadirinya daripada pelbagai golongan seperti pesara, profesional, graduan serta suri rumah.

Katanya, kursus dianjurkan itu boleh dijadikan panduan dan laluan untuk menjadi usahawan berjaya kerana mendedahkan pelbagai aspek seperti meningkatkan kebolehan serta pengetahuan mengenai manfaat dan kegunaan hasil daripada cacing, di samping memahirkan diri dengan teknik ternakan budi daya cacing. Selain itu, kursus berkenaan turut mengajar kemahiran mengenai selok belok jenis perusahaan yang diceburi dan membimbing peserta menjadi usahawan termasuk dari segi pemasaran, modal kewangan serta banyak lagi.

“Penternakan cacing pada dasarnya sangat mudah kerana ia dapat memanfaatkan bahan buangan yang sedia ada untuk kegunaan tempat pembiakan atau makanan cacing selain tidak mempunyai risiko jangkitan penyakit. Potensi bidang ini juga besar, malah pada masa kini permintaan baja cacing khususnya amat tinggi. Oleh itu, jika ada yang berminat meneroka bidang baru ini, khususnya wanita digalakkan menyertai kursus yang kami anjurkan,” katanya.



Comments

Popular Posts