LAGI RANGKUMAN BERITA PIALA MALAYSIA

Irfan ada misi peribadi


MARZUKI (kiri) menjulang bendera Terengganu sejurus selepas kejayaan membenam Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam kelmarin.



MISI memburu tempat ke final sudah tercapai dan kini, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti (gambar kecil) mula memasang angan-angan untuk membantu pasukannya menjulang Piala Malaysia buat kali pertama dalam tempoh sepuluh tahun.
Malah, keyakinan Irfan juga mula bertambah apabila impiannya untuk merasai nikmat final piala berprestij itu sebagai jurulatih sejak lebih 20 tahun lalu akhirnya tercapai.
Menurut Irfan, beliau tidak pernah merasai perlawanan akhir Piala Malaysia sejak bergelar jurulatih dengan pencapaian terbaiknya hanyalah ke separuh akhir ketika bersama Negeri Sembilan, Perlis dan Telekom Melaka.
Justeru katanya, beliau seharusnya memberi pujian kepada para pemain atas kerja keras yang ditunjukkan sepanjang musim ini sehingga membawa mereka ke puncak perlawanan pada 29 Oktober ini.
"Kami melalui musim yang cukup mencabar dan saya boleh katakan bahawa laluan kami ke final sangat berliku jika dibandingkan dengan Negeri Sembilan.
"Kami perlu berdepan juara bertahan (Kelantan) di suku akhir sebelum menentang Selangor dengan Misi 33 mereka pada separuh akhir.
"Namun, kami bersyukur kerana berjaya melepasi semua halangan ini dan sebab itu, para pemain saya berhak untuk berada di perlawanan akhir," jelas Irfan kepada Kosmo! semalam.
Pada perlawanan separuh akhir kedua kelmarin, Terengganu sekali lagi mempamerkan kelas tersendiri untuk menewaskan Selangor 2-1, sekali gus mara ke final dengan agregat 4-1.
Bagi Irfan, beliau secara peribadi begitu teruja untuk berada di pentas final Piala Malaysia musim ini kerana ia adalah peluang terbaik buatnya untuk melakar satu lagi sejarah peribadi.
"Apa lagi yang diimpikan oleh mana-mana jurulatih selain membawa pasukannya ke perlawanan akhir Piala Malaysia.
"Ini adalah kejohanan paling berprestij dalam bola sepak negara dan seharusnya saya berbangga kerana akhirnya berada di sini.
"Dalam masa sama, saya juga bertekad untuk membantu Terengganu menamatkan badi kejuaraan selama sedekad selepas kali terakhir negeri ini memenanginya adalah pada tahun 2001," tambahnya.
Mengulas perlawanan kelmarin, Irfan mengakui para pemainnya berjaya menguasai setiap tekanan yang diberikan lawan selain bijak menggunakan peluang untuk menjaringkan gol.
"Abdul Manaf (Mamat) dan Ashaari (Shamsuddin) merupakan pemain yang sangat bijak dan mereka langsung tidak melepaskan peluang untuk menjaringkan gol.
"Saya juga boleh katakan bahawa Marzuki Yusof adalah pertahanan terbaik negara masa kini dan kehadirannya begitu memberi impak kepada kekuatan pasukan," katanya.
Ditanya mengenai lawan di pentas final, Irfan secara peribadi mengakui, Negeri Sembilan merupakan sebuah pasukan yang cukup lengkap.
"Negeri Sembilan merupakan pasukan yang lengkap dan sudah pasti perlawanan akhir nanti menjanjikan sesuatu yang hebat," katanya lagi.


Penyu makin garang

Oleh Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my
GERGASI Pantai Timur, Terengganu semakin bersemangat untuk memburu kejuaraan kali kedua dalam kancah Piala Malaysia apabila mengesahkan kemaraan ke final untuk bertemu Negeri Sembilan di Shah Alam, Sabtu ini.
Juara Piala FA itu yang berjaya membawa pulang trofi berprestij itu buat kali pertama pada 2001 ketika di bawah kendalian Mat Zan Mat Aris sudah pasti mengidam koleksi kemenangan kedua kerana sudah sedekad menanti untuk beraksi di pentas final.

Kapten Terengganu, Marzuki Yusof berkata, selepas berjaya meleburkan Misi 33 Selangor, semangatnya dan rakan sepasukan kian membara untuk mencatat kemenangan berganda selepas mendakap Piala FA, Jun lalu, selain muncul naib juara Liga Super.
“Jika dihitung, tempoh 10 tahun terlalu lama untuk kami melangkah semula ke final, jadi dengan peluang keemasan yang hadir ini, saya dan rakan sepasukan bertekad untuk membawa pulang Piala Malaysia,” katanya.

Pada perlawanan itu, skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim berjaya melebur impian Selangor menerusi kemenangan 2-1 sekali gus layak menerusi agregat 4-1.

Abdul Manaf Mamat dan Ashari Samsuddin sekali lagi membuktikan sentuhan mereka berbisa apabila masing-masing menghasilkan satu jaringan untuk meletakkan pasukan ke final sebelum pelawat merapatkan kedudukan hasil jaringan Safiq Rahim.

Sementara itu, Irfan Bakti berkata, beliau sudah menjangkakan pertemuan itu sengit kerana lawan sudah pasti mahu memadam kekurangan dua jaringan di Stadium Shah Alam pada peringkat separuh akhir pertama, Selasa lalu.

“Saya amat bangga dengan komitmen pemain kerana berjaya melaksanakan arahan taktikal dengan berkesan untuk menyekat hajat Selangor.


Cemuhan inspirasi NS ke final
Oleh Hussain Said
hussain@bharian.com.my
2011/10/24

SHUKOR  (tengah) meraikan  gol bersama rakan sepasukan, kelmarin.
SHUKOR (tengah) meraikan gol bersama rakan sepasukan, kelmarin.
Bangkit daripada kekecewaan Liga Super, hatrik ke final Piala Malaysia

KAPTEN Negeri Sembilan, Shukor Adan mendedahkan cemuhan dan cacian yang dilemparkan terhadap dia dan rakan sepasukan susulan prestasi mengecewakan dalam Liga Super dan Piala FA, menjadi sumber inspirasi kebangkitan mereka untuk menempah tiket final Piala Malaysia.
Untuk berita lanjut dapatkan akhbar Berita Harian hari ini.
Kejayaan ke final piala keramat ini menjadi jawapan terbaik menjawab cemuhan. - Shukor Adan, Kapten Negeri Sembilan 

Negeri Sembilan berhak beraksi di pentas final


AZRAAI (tengah) bersama barisan pemainnya meraikan kejayaan Negeri Sembilan mara ke final Piala Malaysia 2011 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam kelmarin.



"KAMI memang layak beraksi di pentas final."
Itulah yang mampu diungkapkan oleh pengendali Negeri Sembilan, Mohd. Azraai Khor Abdullah selepas menyaksikan anak-anak buahnya melangkah kaki ke pentas final Piala Malaysia 2011 buat kali ketiga berturut-turut selepas menyingkirkan T-Team.
Skuad Hoben Jang Hoben terpaksa berhempas pulas menundukkan T-Team 2-1 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam kelmarin, sekali gus menempah tiket ke final dengan agregat 6-3.
Bagi Azraai, Negeri Sembilan memang layak beraksi di pentas final menentang Terengganu di Stadium Shah Alam pada 29 Oktober ini berdasarkan pretasi memberangsangkan yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya.
Azraai berkata, prestasi anak-anak buahnya sentiasa meningkat dalam setiap aksi kempen Piala Malaysia dan merupakan antara pasukan paling konsisten dalam edisi kali ini.
"Saya berasa syukur kerana kita layak ke pentas final sekali lagi, tetapi semua ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa perit jerih semua pihak terutama para pemain yang menunjukkan semangat juang yang tinggi sepanjang kempen kali ini.
"Berdasarkan prestasi dan corak permainan anak-anak buah saya, tidak syak lagi Negeri Sembilan sememangnya layak untuk beraksi di pentas final sekali lagi," kata Azraai semalam.
Menjelang aksi final, Azraai memberitahu, tempoh kira-kira seminggu ini akan digunakan untuk memperbaiki beberapa kelemahan yang ada.
"Walaupun kita sudah layak ke final, tetapi masih ada beberapa kelemahan yang dikenal pasti dan semua itu saya mahu perbaiki menjelang perlawanan akhir nanti," jelasnya.
Azraai berkata, perhitungan terakhir dengan Terengganu itu nanti sudah pasti menarik kerana kedua-dua pasukan sudah empat kali bertemu musim ini.
"Negeri Sembilan dan Terengganu juga berada dalam kumpulan yang sama dalam kempen Piala Malaysia 2011 dan boleh dikatakan kedua-dua pasukan tahu kekuatan serta kelemahan masing-masing.
"Apa yang pasti perlawanan terakhir ini sudah pasti menjanjikan aksi istimewa berbanding pertemuan terdahulu," katanya.

Comments

Popular Posts