PERKEMBANGAN POLITIK SELANGOR APA SEBENARNYA PENDIRIAN PAS



Sungguh menarik ‘permainan’ ini



LEBIH 60 tahun PAS berkecimpung dalam arena politik negara. Pelbagai pengalaman telah dilalui. Namun pengalaman kali ini adalah paling menarik.

Andainya politik ini boleh dianggap satu permainan, maka permainan kali ini paling mencabar minda.

Tidak pernah terbayang sebelum ini, selain dari Kelantan dan Terengganu; terdapat lagi sebuah negeri di mana semua Exconya adalah terdiri dari ADUN PAS.

Ia diketuai pula oleh menteri besar yang tidak berparti dan disokong oleh para ADUN Umno/BN yang sehingga kini tidak pernah menjalin apa-apa kerjasama politik dengan PAS.

Berbanding semua parti politik pembangkang di Malaysia, PAS unggul sebagai sebuah parti yang mempunyai kekuatan tarbiyah dan prinsip walak (patuh).

PAS dikagumi semua pihak, kerana dalam apa situasi pun tiada ahli PAS yang sanggup melompat parti. Apa sahaja keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti maka ahli-ahli PAS akan "sami'na wa ato'na" (kami dengar dan kami taat).

Namun untuk konflik yang muncul kali ini, ia tidak berjalan semudah itu. Zaman di mana semua orang bebas bercakap di mana sahaja (langit terbuka) tanpa memperdulikan status diri masing-masing maka polemik menjadi rutin harian.

Semua sibuk mengemukakan pandangan dan hujah. Sibuk pula membidas pandangan dan hujah yang awal. Semua hujah ada nas dan sandaran, sehingga keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS pun, disyurakan lagi secara terbuka.

Dahulu apa yang keluar dari mulut presiden dianggap keputusan parti. Hari ini ada yang mempertikai presiden kerana mengeluarkan kenyataan tanpa diputuskan Jawatankuasa PAS Pusat. Pendirian Presiden bercanggah pula dengan rakan kongsi, KeADILan dan DAP.

Sementara ada pihak mempertikaikan sikap Presiden PAS, di satu pihak pula menempelak KeADILan yang tidak berbincang dengan DAP dan PAS pun sewaktu memulakan Kajang Move (agenda permulaan menukar Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar).

"Jangan salahkan Presiden PAS menyatakan pendiriannya, jika dalam banyak keputusan dibuat oleh Anwar sebelum ini tanpa berbincang pun dengan beliau." Hujah berlawan hujah.

PAS memilih tarikh 17 Ogos untuk membuat keputusan, tiba-tiba muncul Majlis Syura seolah-olah mengikat keputusan AJK PAS Pusat dengan menyatakan sokongan terbuka terhadap Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.

Muncul pula hujah, bagaimana boleh ‘mahkamah rayuan’ bersidang dan membuat keputusan terlebih dahulu dari ‘mahkamah tinggi’ dalam kes yang sama? Lalu para alim ulamak muncul dengan hujah syarie berjela-jela mempertahankan Majlis Syura.

Majlis Syura berpencak dengan ilmu, tiba-tiba KeADILan berpencak dengan politik apabila memecat Khalid dari parti itu. Khalid sudah tidak berada dalam parti komponen Pakatan Rakyat, masakan PAS hendak menyokong?

Di tengah Majlis Syura tidak mengubah keputusan tiba-tiba dua ADUN PAS mengengkari keputusan itu, lalu bersama KeADILan dan DAP menyokong Datuk Seri Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar.

Ada yang menganggap tindakan dua ADUN PAS itu sebagai pengkhianat kerana tidak mengikut keputusan parti. Ada yang berhujah, tidak khianat kerana keputusan parti belum dibuat dan hanya dibuat pada 17 Ogos.

Menurut seorang ulamak PAS pula, tidak khianat kerana keputusan syura dibuat ketika Tan Sri Khalid masih anggota Pakatan Rakyat, sekarang dia sudah dipecat. Maka keputusan syura tidak valid lagi.

Ada pihak membangkitkan isu baiah. ADUN terbabit menjelaskan bahawa tindakannya adalah untuk selamatkan PAS dengan tindakan yang merugikan. Maka ia bukan khianat namanya.

Ada pihak lain yang berhujah, keputusan memantap dan memperkasakan Pakatan dibuat oleh muktamar PAS. Mengikut perlembagaan PAS, keputusan muktamar adalah yang tertinggi.

Maka hujah mereka, yang cuba mengekari keputusan muktamar, yang cuba menampakkan perpecahan dengan rakan sekutu Pakatan adalah yang sebenarnya pengkhianat parti.

Empat Exco PAS yang bersama Khalid tidak dapat melepaskan diri dari menerima kecaman. Seolah-olah mereka tamak kuasa. Kononnya jika jika empat Exco tersebut melepaskan jawatan, maka kerajaan negeri pimpinan Khalid akan tumbang.

Ada yang pertahankan tindakan mereka adalah betul lagi syarie kerana patuh kepada arahan parti.

Hujahnya, kerajaan Selangor boleh wujud dengan seorang Menteri Besar dan empat Exco. Jika Exco PAS tarik diri, Menteri Besar boleh lantik empat Exco dari BN untuk kekalkan kerajaan.

Meskipun kerajaan tersebut hanya boleh bertahan sehingga Sidang DUN pada hujung tahun tetapi tempoh tersebut cukup untuk kerajaan BN Selangor melakukan pelbagai perkara.

Rizab tunai RM3.2 bilion akan berpindah ke tangan ‘penyamun’. Mereka juga boleh bubar DUN dan memanipulasi situasi sehingga berjaya tawan Selangor dalam pilihanraya negeri. Ada logiknya hujah tersebut.

Bagi PAS, isu Selangor menambah satu lagi koleksi cabaran dalam bertahaluf. Sebelum ini isu hudud menjadi cabaran. Buat masa ini isu hudud hanya berjaya disenyapkan di kalangan Pakatan tetapi belum diselesaikan.

Isu kemelut Pakatan di Selangor ini juga akan selesai dengan baik nanti. PAS, KeADILan dan DAP akan kembali duduk semeja juga akhirnya – membuat satu keputusan bersama.

Permuafakatan boleh ditaupkan semula kerana masing-masing parti komponen Pakatan tidak boleh bersendirian dalam menuju Putrajaya. Cuma masalahnya ialah ‘kecederaan teruk’ dialami pada persepsi rakyat terhadap Pakatan dalam isu yang berlarutan ini.

Rakyat sukar mempercayai sebuah pakatan yang berkonflik untuk memimpin mereka, walaupun akhirnya krisis tersebut tampak selesai. Macam yang krisis yang berlaku di Kedah dahulu.

Ada pemimpin PAS yang menangis kegembiraan kerana akhirnya tokoh yang berkonfik boleh bersama dalam barisan Exco. Namun lepas itu menangis pula kerana Kedah jatuh ke tangan BN. - HARAKAHDAILY, 19/8/2014

Comments

Popular Posts